Sakit kepala
merupakan salah satu gejala yang mula-mula tercatat dalam sejarah manusia dan
merupakan keluhan yang paling sering ditemui. Sakit kepala boleh menyerang
seseorang individu secara tidak menentu, iaitu semasa melakukan sesuatu
pekerjaan, memandu kereta, membaca buku, apabila bangun dari tidur dan banyak
lagi keadaan lain. Otak sendiri tidak sensitif dengan sakit, tetapi struktur
lain seperti kulit kepala, otot kepala dan leher, salur darah dan saraf
sensitif dengan sakit. Pada umumnya, sakit kepala diketahui boleh dicetuskan
atau disebabkan oleh alkohol, kafein yang terdapat di dalam minuman seperti
kopi, teh, dan lain serta makanan yang mengandungi bahan nitrat atau glutamate.
Selain itu, batuk yang sangat kuat , tekanan jiwa, hormon, stres, pergerakan
atau aktiviti fizikal yang keterlaluan dan kurang tidur atau tidur terlalu
banyak juga boleh mencetuskan sakit kepala.
Kekerapan sakit kepala juga berbeza
antara individu dengan individu yang lain. Sesetengah individu jarang-jarang
mendapat sakit kepala, manakala ada individu yang mendapat sakit kepala secara
regular atau berkala seperti wanita semasa haid. Ada individu yang mendapat sakit kepala berkelompok, iaitu sakit kepala
berlaku secara berulang atau episodik dalam tempoh beberapa hari atau beberapa
minggu. Kemudian sakit kepala ini akan hilang untuk beberapa bulan atau
beberapa tahun dan selepas itu akan kembali menyerang.
Ciri-ciri
am sakit kepala
Sakit kepala yang berlaku pada
individu adalah berbeza dengan individu yang lain. Keadaan sakit mungkin
berbeza, sama ada berdenyut, berasa tajam atau menikam. Jangka masa sakit juga
berbeza sama ada berterusan atau tidak dan ada yang beberapa minit, beberapa
jam atau bebarapa hari. Sesetengah lokasi sakit juga berbeza sama ada di
bahagian hadapan dahi, di bahagian tepi dahi, dibelakang leher, melibatkan
sebelah kepala (unilateral) atau melibatkan kedua-dua belah kepala (bilateral).
Keadaan sakit, jangka masa sakit dan tempat atau lokasi sakit boleh membantu
doktor mengesahkan atau membuat diagnosis.
Jenis-jenis
sakit kepala
Sakit kepala
boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu:
a) Sakit kepala primer (sakit kepala tanpa
penyakit lain)
Sakit kepala primer termasuklah
sakit kepala akibat ketegangan (tension headache), sakit kepala berkelompok
(cluster) dan migrain. Jenis sakit kepala yang utama yang kerap ialah sakit
kepala akibat ketegangan migrain, sakit kepala berkelompok yang juga dikenal
sebagai sindrom sendi temporomandibel dan sakit kepala resdung. Sebanyak 90%
daripada keseluruhan sakit kepala ialah sakit kepala akibat ketegangan dan
migrain. Berlakunya sakit kepala jenis ini disebabkan oleh kontraksi otot,
iaitu otot mengecut (sakit kepala akibat ketengangan), gangguan vaskular iaitu
salur darah (migrian dan sakit kepala berkelompok) atau kombinasinya.
b) Sakit kepala sekunder ( sakit kepala
yang disebabkan oleh penyakit lain ).
Sakit kepala sekunder boleh
diakibatkan oleh pelbagai penyakit yang
serius dan yang tidak seruis seperti resdung, infeksi selaput otak
(meningitis), infeksi otak, aneurisma (pembengkakan atau pengembangan satu
kawasan pada salur darah), kecederaan kepala, kanser otak, penyakit sendi
tengkuk atau rahang dan kesan sampingan sesetengah ubat. Walaupun ramai orang
bimbang tentang sakit kepala yang dihadapi
mungkin akibat kanser otak , aneurisme, infeksi otak dan lain-lain,
tetapi jarang-jarang sekali sakit kepala berlaku akibat gejala tunggal,
biasanya terdapat gejala-gejala lain yang mengiringi sakit kepala tersebut.
2.0 Sakit
Kepala Akibat Ketegangan
Pengenalan
Sakit kepala akibat ketegangan
merupakan contoh terbaik bagi menggambarkan sakit kepala biasa yang mungkin
berkaitan ataupun tidak dengan tekanan psikososial. Sakit kepala akibat ketegangan
juga dikenali sebagai sakit kepala konstraksi (pengecutan) otot. Ia bermaksud
sakit kepala yang disebabkan oleh ketegangan otot akibat tekanan (stres) emosi
atau ketegangan fizikal. Sakit kepala jenis ini adalah jenis yang paling lumrah
berlaku dan lebih kerap berlaku pada wanita berbanding lelaki. Sakit kepala
jenis ini boleh berlaku sebagai satu
kejadian tunggal atau berulang dan boleh menjadi kronik sehingga berlaku
sebanyak dua kali atau lebih setiap minggu untuk beberapa bulan atau tahun
lamanya. Sakit kepala jenis ini juga dikenal sebagai sakit kepala benigna
(sakit kepala yang tidak ada penyebab yang seruis).
Gejala
Keadaan
sakit yang dirasai akibat sakit kepala jenis ini seolah-olah seperti terdapat
benda berat yang menekan kepala. Keadaan ini diiringi oleh sakit pada kulit
kepala, terutamanya dibahagian lilitan kepala yang terasa ketat serta leher dan
bahu. Semua bahagian yang mengalami sakit juga mengalami konstraksi otot. Lebih
khusus lagi, sakit kepala akibat ketegangan dirasai seperti satu tekanan atau
sesuatu yang mencengkam dililitan kepala.
Sakit
kepala jenis ini jarang-jarang berdenyut dan tidak disertai demam ( yang
membantu membezakannya daripada sakit kepala akibat demam). Serangan sakit
kepala jenis ini bermula pada bila-bila masa. Ia boleh berlaku dengan satu
serangan sahaja atau terjadi secara berterusan. Ia boleh juga berlaku pada
setiap hari dengan masa kelegaan yang pendek antara setiap serangan.
Punca
Sakit kepala akibat ketegangan berpunca
daripada kontraksi berpanjangan otot leher, kulit kepala atau bahu. Kemungkinan
besar kontraksi otot ini terjadi akibat tekanan emosi atau ketegangan fizikal.
Sebarang aktiviti yang menyebabkan kepala berada dalam satu posisi untuk masa
yang lama juga boleh menyebabkan sakit kepala jenis ini seperti menaip atau
menggunakan komputer, kerja seni tangan atau menggunakan mikroskop terlalu
lama. Tidur di dalam bilik yang terlalu sejuk atau tidur dengan kepala dalam
posisi tidak normal juga boleh menyebabkan sakit kepala jenis ini. Faktor-faktor
lain termasuklah mata letih, minum alkohol, merokok berlebihan, minum minuman
berkafein berlebihan, sinusitis (resdung), hidung tersumbat, jangkitan virus
influenza atau selesema atau jangkitan kuman lain di salur pernafasan. Sakit
kepala jenis ini juga disebabkan oleh bunyi bising dan asap kenderaan yang
keterlaluan.
Perubahan yang berlaku pada proses dalaman
tubuh badan.
Pada pesakit ini terdapat
ketidaknormalan neurotransmitter (bahan kimia otak) yang dikenal sebagai
5-hidroksitriptamin (5-HT) di dalam cecair yang terdapat di dalam otak dan
tulang belakang. Cecair ini juga dikenali sebagai cecair serebrospina. Sakit kepala yang disebabkan oleh pengurangan 5-HT
ini mengurangkan ambang sakit dan mempengaruhi reaksi pesakit terhadap rasa
sakit. Di samping mengurangkan bekalan oksigen ke otak, pengurangan aliran
darah juga boleh menyebabkan penimbunan bahan toksin yang mengakibatkan rasa
sakit.
Diagnosis
Seseorang itu boleh didiagnosis
sebagai sakit kepala akibat ketegangan jika dia mempunyai dua daripada cirri
berikut:
a) Sakit seperti mencengkam di lilitan kepala dan tidak berdenyut dan tahap keterukannya ringan sehingga sederhana.
b) Sakit melibatkan kedua-dua bahagian tepi kepala atau bilateral dan sakit tidak bertambah teruk dengan aktiviti fizikal. Pesakit juga tidak berasa loya atau muntah atau fotofobia iaitu tidak tahan melihat cahaya dan fonofobia iaitu tidak tahan dengan bunyi.
a) Sakit seperti mencengkam di lilitan kepala dan tidak berdenyut dan tahap keterukannya ringan sehingga sederhana.
b) Sakit melibatkan kedua-dua bahagian tepi kepala atau bilateral dan sakit tidak bertambah teruk dengan aktiviti fizikal. Pesakit juga tidak berasa loya atau muntah atau fotofobia iaitu tidak tahan melihat cahaya dan fonofobia iaitu tidak tahan dengan bunyi.
Diagnosis sakit kepala akibat
ketegangan adalah bersandarkan riwayat penyakit, termasuk cara sakit kepala
bermula iaitu sama ada secara beransur-ansur atau berkaitan dengan stress.
Lokasi sakit juga dapat membantu diagnosis. Pesakit menggambarkan kesakitanya
sebagai perasaan ketat seperti kena tekan. Pesakit mengadu kulit kepalanya
lembut, otot lehernya kaku dan rasa tidak selesa di bahagian rahang. Berbeza
daripada migrain, sakit kepala akibat ketegangan tidak mempunyai cirri-ciri
prodrom (gejala yang mendahului sakit kepala) dan gejala gastrousus.
Rawatan
Rawatan sakit kepala akibat ketegangan
ditumpukan kepada rawatan untuk melegakan dan mencegah sakit kepala daripada
berulang. Pencegahan merupakan rawatan terbaik iaitu menyingkir atau mengawal
faktor penyebab.
Rawatan
tanpa ubat atau strategi lain ialah:
a)
Pesakit digalakkan belajar dan melatih diri dalam
pengurusan stres. Istirehat melalui renungan pesekitaran atau benda-benda hijau
boleh membantu sesetengah pesakit.
b)
Elakkan berada dalam keadaan sejuk jika sakit kepala
tercetus apabila berada dalam keadaan tersebut.
c)
Gunakan bantal yang boleh menyandang leher sewaktu
tidur.
d)
Cuba
supaya berada dalam keadaan yang selesa apabila membaca, bekerja atau terlibat
dalam aktiviti yang boleh menyebabkan sakit kepala seperti menaip atau
menggunakan komputer.
e)
Pastikan anda tidak berada dalam satu posisi untuk
jangka masa yang lama iaitu melebihi setengah jam. Jika anda perlu meneruskan
kerja anda harus menghentikan kerja buat sementara waktu dan lakukan senaman
leher dan bahu untuk satu minit atau dua minit. Jika mata anda terasa letih,
terutamanya apabila berhadapan dengan komputer, anda harus melatih diri supaya
menutup mata anda atau mengalihkan renungan anda supaya dapat merehatkan mata.
f)
Tidur dan rehat yang cukup atau mengurut otot (secara
sederhana) yang sakit boleh membantu mengurangkan sakit kepala.
3.0 Sakit Kepala Berkelompok
Pengenalan
Sakit kepala berkelompok (cluster)
selalunya melibatkan sebelah kepala atau unilateral. Ia dikenal sebagai
berkelompok kerana berlaku secara kelompok, setiap kelompok serangan
berlangsung untuk beberapa hari, minggu atau bulan. Berbeza daripada migrain,
sakit kepala berkelompok lebih kerap berlaku pada lelaki berbanding wanita,
biasanya di kalangan lelaki berusia
30-an atau 40 an. Ia juga dikenal sebagai sakit kepala histamin atau neuralgia
migrainus tetapi bukan sejenis migrain.
Gejala sakit kepala berkelompok
Sakit
kepala jenis ini dicirikan dengan rasa sakit seperti terbakar dan menggerudi.
Keamatan sakitnya adalah kuat dan berterusan. Sakit dirasai di sekeliling mata
dan sebahagian muka, dahi atau bahagian tepi kepala pada sebelah yang sama
dengan mata yang sakit. Mata yang terlibat menjadi merah, berair dan kelopak
mata bengkak. Hidung boleh tersumbat dan mungkin juga terdapat lelehan air
daripada hidung (rinorea). Ciri-ciri lain yang mengiringi sakit kepala
berkelompok ialah anak mata mengecil, kelopak mata kelihatan separuh tutup dan
muka menjadi merah.
Sakit kepala jenis berlaku secara
tiba-tiba dan rasa sakit menjadi teruk dengan cepat, iaitu dalam masa 5 minit
hingga 10 minit dan memuncak untuk 30 minit hingga 2 jam atau 3 jam bergantung
kepada individu. Apabila mengalami kesakitan, pesakit berasa resah, tidak boleh
duduk diam, malah perlu bergerak. Berbeza dengan migrain, sakit kepala
berkelompok ada kaitan dengan sesuatu perasaan/keadaan yang dialami sebelum
serangan sakit kepala berlaku seperti berasa mual dan muntah.
Punca sakit kepala berkelompok
Penyebab sebenar seseorang itu
mendapat sakit kepala berkelompak tidak diketahui. Walau bagaimanapun, beberapa
perkara atau keadaan yang dialami oleh seseorang telah dikenal pasti atau
diimplikasi sebagai faktor yang boleh menyebabkan sakit kepala berkelompok.
Alkohol merupakan faktor penyebab paling dikenal pasti, tetapi tidak semua
individu yang meminum alcohol akan mendapat sakit kepala berkelompok. Faktor
lain yang boleh menjadi penyebab ialah stres, pendedahan luar biasa kepada
suasana panas atau sejuk, sinaran terang pada mata dan beberapa jenis makanan
seperti coklat, telur dan hasil tenusu.
Perubahan
yang berlaku pada proses dalaman tubuh badan.
Ia diketahui melibatkan rangsangan
satu bahagian otak yang dikenali sebagai hipotalamus, seterusnya rangsangan
saraf trigeminal iaitu saraf utama muka dan system saraf yang dikenal sebagai
parasimpatetik. Ada
juga yang menyatakan bahaea sakit kepala berkelompok berlaku akibat perubahan
pada pembuluh darah atau salur darah. Pembebasan histamin dari tisu tubuh serta
bahan kimia otak iaitu 5-hidroksitriptamin mempengaruhi salur darah.
Rawatan sakit kepala berkelompok
Sumatriptan ialah ubat yang paling
berkesan melagakan sakit kepala. Penyedutan 100% oksigen juga berkesan untuk
melegakan sakit kepala berkelompok pada sesetengah pesakit. Kombinasi pelbagai
ubat termasuk Ergotamine mungkin diperlukan untuk mengawal gejala sakit kepala
berkelompok. Respons pesakit terhadap ubat juga boleh berubah setiap masa, jadi
pengambilan ubat yang berkesan atau kombinasi ubat sebelum ini mungkin tidak
mempunyai kesan yang sama. Terdapat pelbagai ubat lain seperti pranolol,
Amitriptyline dan kumpulan ubat yang menyekat terusan kalsium merupakan antara
ubat yang boleh mencegah serangan sakit kepala berkelompok. Ubat tersebut tidak
boleh diambil tanpa arahan doktor kerana
jika pengambilanya tidak diawasi, ia boleh menimbulkan kesan sampingan yang
teruk.
Ubat steroid seperti Prednisone
boleh memberi kelegaan sementara bagi sesetengah pesakit, tetapi pesakit tidak
digalakkan sama sekali menggunakannya tanpa arahan doktor kerana doktor memantau keberkesanan dan kesan
sampingan ubat-ubat tersebut.
Tabiat merokok dan meminum alcohol patut dielakkan untuk mengurangkan
atau menghalang sakit kepala berkelompok. Catatan diari tentang sakit kepala
mungkin membantu untuk mengenal pasti faktor yang mencetuskan sakit kepala
berkelompok.
4.0
Migrain
Pengenalan
Migrain ialah sakit kepala vaskular
iaitu sakit kepala akibat perubahan bentuk salur darah (mengecut dan
mengembang) di otak. Terdapat dua jenis migrain iaitu migrain lumrah dan
migrain klasik. Migrain lumrah lebih sering ditemui berbanding migrain klasik
(10%). Migrain klasik didahului dengan gejala prodrom sebelum sakit kepala,
manakala migrain lumrah tidak didahului oleh gejala prodrom. Migrain berlaku
lebih pada wanita berbanding lelaki. Walaupun migrain boleh bermula pada semua
peringkat umur, namun kebanyakkan
pesakit mendapat migrain pada usia remaja. Serangan migrain paling kerap
berlaku pada wanita dalam lingkungan umur 35 tahun dan 45 tahun. Kebanyakan
pesakit migrain mempunyai ahli keluarga yang juga mengalami migrain iaitu
sejarah keluarga yang positif mendapat migrain.
Gejala migrain
Biasanya migrain melibatkan sebelah
kepala (unilateral) tetapi boleh juga melibatkan kedua-dua belah kepala
(bilateral). Sakit yang dirasai adalah berdenyut-denyut. Gejala prodrom yang
mendahului migrain dikenal sebagai aura. Aura yang biasanya berlangsung selama
10 minit hingga 30 minit sebelum sakit kepala boleh menjadi petanda kepada
pesakit bahawa beliau akan mengalami serangan migrain. Aura biasanya berkaitan
dengan gangguan penglihatan yang melibatkan sebelah mata atau kedua-dua belah
mata. Gangguan penglihatan ini mengakibatkan pesakit ternampak cahaya yang
terang yang bersinar (garisan zigzag) dan benda-benda lain sebenarnya tidak
wujud.
Pesakit migrain berasa kepala
berdenyut-denyut yang mungkin berlanjutan selama satu jam hingga 72 jam. Sakit
mulai dirasai saecara beransur-ansur di bahagian depan atau tepi kepala,
sekeliling mata, sekitar telinga dan rahang. Keamatan sakitnya adalah kuat dan
boleh diiringi dengan gejala lain seperti sukar bercakap, tangan dan kaki
berasa kebas atau lemah,sukar bergerak atau berjalan dengan betul.Pesakit juga
akan mengalami gejala seolah-olah bilik atau dirinya berpusing,bunyi berdesing
di dalam telinga, hilang selera makan, rasa loya atau muntah, badan
berpeluh-peluh dan berasa latih.
Punca
Kebanyakan pesakit migrain mempunyai
ahli keluarga yang mengidap migrain.Hal ini menunjukkan bahawa seseorang itu
mendapat migrain adalah disebabkan oleh faktor ginetik atau baka.Beberapa
faktor yang dikenal pasti yang menyebabkan migrain :
a)
Emosi atau stress-tekanan emosi merupakan faktor yang
sering mencetuskan migrain. Semasa tekanan emosi, bahan kimia tertentu
dibebaskan di otak untuk membantu individu menangani stres.
b)
Kafein - meminum kopi atau minuman lain secara
berlebihan atau menghentikan minuman ini dengan tiba-tiba boleh menyebabkan
migrain apabila aras kefain di dalam darah menurun. Sakit kepala yang terjadi
akibat ketiadaan bahan kafein hanya sementara. Sebaliknya, kafein yang terdapat
dalam ubat bersama-sama ubat lain boleh melegakan migrain pada pesakit migrain
yang tidak minum minuman berkafein secara tidak berlebihan atau tidak minum
minuman berkafein sama sekali.
c)
Bahan kimia tertentu dalam makanan dan minuman -
Minuman seperti alkohol, makanan yang
mengandungi teramin (keju), bahan hasil tenusu lain, mentega kacang, vanilla,
coklat, kacang tanah, tapai dan buah-buahan (avocado, pisang, dan jenis sitrus
seperti limau). Makanan yang mengandungi nitrak seperti daging babi, daging
salar, sosej panas, daging awet dan makanan yang mengandungi monosodium glutama
(bahan yang biasa ditambahkan kepada makanan yang meningkatkan perisa atau
kelazatan makanan).
d)
Persekitaran - Cahaya terang, lampu berkelip-kelip,
bunyi bising, asap (tembakau, kereta , kilang ) dan perubahan cuaca.
e)
Faktor lain - Merokok, aras gula darah rendah, haid ,
pil perancangan keluarga dan tidak cukup tidur.
Perubahan
yang berlaku dalaman tubuh badan.
Migrain boleh berlaku apabila salur
darah di bahagian luar tengkorak (muka, kulit kepala, leher) dan di bahagian
dalam tengkorak (di permukaan otak,meninges iaitu lapisan otak) mengalami
perubahan iaitu mengembang dan mengecut.Apabila salur darah mengecut,aliran
darah akan berkurangan dan ini mengakibatkan gangguan atau aura. Kekurangan
aliran darah ke otak akan menyebabkan gangguan penglihatan,pendengaran atau
pertuturan yang boleh berlaku semasa aura. Kemungkinan sejenis bahan kimia otak
iaitu 5-hidroksitriptamin (5-HT) yang menyebabkan salur darah mengecut.
Perkembangan salur darah ini akan menyebabkan saraf yang terdapat di permukaan
luarnya tertarik dan menjadi tegang. Keadaan ini telah menyebabkan sakit kepala
yang berdeyut-deyut.
Rawatan migrain.
Apa yang anda boleh lakukan
Satu cara yang berkesan dan praktik
untuk merawat migrain ialah pesakit sendiri mengubah cara hidupnya serta
mengelakkan semua faktor yang boleh mencetuskan migrain. Jika anda mengesyaki
bahawa kafein adalah antara penyebab migrain anda, anda haruslan berusaha untuk
berhenti mengambil minumam tersebut secara beransur-ansur, pemberhentian secara
serta merta boleh mencetuskan serangan migrain.
Anda
harus meneliti perkara yang boleh menyebabkan stres pada diri anda supaya anda
boleh menyelesaikannya. Cara menangani stres termasuklah senaman, rehat yang
cukup, pemakanan yang sihat dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan. Pada sesetengah individu, migrain berlaku
disebabkan oleh lambat makan atau mengelakkan makan. Hal ini dapat di atasi
dengan memastikan waktu makan secara tetap dan teratur. Rawatan ditumpukan pada
pengawalan atau meredakan gejala yang dialami dan juga untuk mencegah serangan
migrain daripada berulang.
Rawatan untuk melegakan sakit
Beberapa ubat boleh digunakan untuk
melegakan migrain. Respons pesakit
terhadap ubat mungin berbeza. Walau bagaimanapun, jika pesakit mendapati
bahawa sesuatu ubat itu berkesan melegakan
migrain, maka ubat itu patut dicuba dahulu sebelum mencuba yang lain.
Analgesik ringan seperti Paracetamol boleh mengurangkan sakit, jika diambil
awal sebelum sakit menjadi teruk. Jika Paracetamol tidak berkesan, gunakan
ubat lain yang mungkin dapat membantu
mencegah dan menghilangkan rasa sakit. Antara ubat-ubat lain yang dibenarkan
untuk sakit magrain iaiah kortikosteroid (Prednisolone), Sumatriptan,
Ergotamine tartrate, Cafergot, Ergonavine maleate dan Propoxyphene.
Rawatan untuk mencegah serangan
Sekranya serangan migrain yang
dialami lebih daripada sekali sebulan, rawatan untuk mencegah serangan tersebut
amat diperlukan. Antara ubat yang boleh mencegah serangan migrain termasuklah
Propranolol, Amitriptyline, ubat kumpulan antiinflamasi bukan steroid seperti
Naproxen dan ubat kumpulan penyekat terusan kalsium sperti Verapamil. Ubatubat
tersebut memerlukan preskripsi doktor, tidak boleh diambil tanpa nasihatdoktor.
Pesakit mungkin perlu mencuba rawatan dengan beberapa ubat sebelum ubat yang
berkesan untuk marwat atau mencegah migrain ditemui.
5.0
Migrain Okular
Pengenalan
Selain migrain jenis lumrah atau
klasik, terdapat satu lagi jenis migrain yang dikenal sbagai migrain
okular atau migrain oftalmoplegia iaitu
migrain yang khusus melibatkan mata. Keadaan ini juga disebabkan oleh
pengecutan salur darah yang mengalirkan darah ke bahagian otak yang mengawal
penglihatan atau pengecutan salur darah otak mata. Migrain jenis ini
jarang-jarang berlaku berbanding jenis lain dan ia terjadi akibat kelemahan
fungsi saraf mata.
Gejala migrain okular
Migrain okular bermula dengan
gangguan penglihatan seperti diplopia (melihat satu objek dalam gandaan dua),
halusinasi (melihat sesuatu yang sebenarnya tidak wujud seperti melihat sinaran
lampu atau cahaya bengkang-bengkok (zigzag) yang terang). Gangguan sedemikian
menjejaskan penglihatan pesakit. Gangguan penglihatan ini biasanya berlangsung
untuk beberapa minit. Rehat di dalam bilik yang gelap boleh membantu melagakan
gejala yang biasanya akan hilang dengan sendiri tanpa ubat dalam masa 1 jam.
Pesakit sering berasa letih selepas serangan tersebut berakhir. Kadangkala
selepas gejala gangguan penglihatan hilang, sesetengah pesakit boleh mengalami
sakit kepala migrain.
Punca migrain okular
Penyebab
sebenar migrain okular tidak diketahui, tetapi pelbagai faktor yang menyebabkan
migrain klasik juga boleh menyebabkan migrain okular. Antara faktor tersebut
ialah stress, perubahan hormon sebelum haid, alcohol dan pil kontraseptif (pil
perancang keluarga). Aras gula darah yang
rendah seperti seseorang lambat makan atau deit boleh menyebabkan sakit migrian
okular. Faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan migrain okular ialah
aneurisma iaitu pengembangan satu kawasan pada salur darah. Aneurisma yang
terjadi pada salur darah besar di leher iaitu salur darah karotid interna boleh
menyebabkan migrain okular.
Rawatan migrain okular
Bagi menguruskan
migrain, perkara yang berikut mesti dilakuakn:-
- mengelakkan sebarang faktor penyebab,
- rawatan profilaksis (mencegah penyakit) atau
- rawatan gejala (jika perlu).
Semasa serangan akut, ramai pesakit mendapati bahawa
rehat di dalam bilik yang
sunyi dan gelap sehingga gejala berkurangan dapat membantu
melegakan sakit. Analgesik ringan (Paracetamol atau Aspirin) biasanya berkesan
untuk merawat migrain okular tetapi kadangkala ia memerlukan rawatan dengan
ubat lain. Kombinasi khusus Cafergot dan Ergotamine tartrate kerap membantu.
Ergotamine telah digunakan secara efektif untuk merawat migrain okular akut.
Kadang-kadang ubat analgesik juga digunakan bersama-sama Ergotamine. Ubat lain
yang boleh diberikan oleh doktor ialah Sumatriptan. Jika migrain berlaku lebih
daripada 2 adatu 3 kali sebulan, rawatan profilaksis mungkin diperlukan. Ubat
yang boleh digunakan dalam rawatan proflaksis ini termasuklah Aspirin,
Propranolol atau Amitriptyline.
6.0
Sakit Kepala Resdung
Pengenalan
Sakit kepala resdung terjadi akibat
keradangan sinus apabila infeksi daripada selesmen atau gigi merabak ke rongga
tersbut. Keradangan sinus ini dikenal sebagai sinusitis. Sinus ialah rongga
udara yang terdapat di beberapa bahagian muka iaitu dahi, belakang hidung dan
pipi. Pada orang dewasa, terdapat empat pasang sinus iaitu sinus frontal, sinus
etmaod, sinus sphenoid dan sinus maksila.Sinus frontal terletak di belakang
mata dan sekiranya resdung melibatkan
sinus ini, sakit akan dirasai di bahagian hadapan dahi. Penglibatan
sinus etmoid yang terletak di bahagian belakang hidung menyebabkan sakit
dirasai di bahagian antara mata dan belakang mata. Sinus sphenoid pula
menyebabkan sakit dirasai di belakang kepala. Sinus maksila yang terletak di
bahagian belakang pipi iaitu di bawah mata dan bahagian tepi hidung merupakan
sinus yang paling sering terlibat dalam resdung dan sakit akan dirasai pada
muka dan pada gigi barisan atas.
Gejala sakit kepala resdung
Sakit kepala merupakan gejala utama
pesakit yang didiagnosis sebagai sinusitis. Sinusitis berlaku akibat infeksi
pada rongga udara tersebut. Sakit akan lebih dirasai di bahagian muka atau
kepala bergantung pada sinus mana yang terlibat. Pada amnya, akibat jangkitan
salur pernafasan atas seperti selesmen, kuman boleh merebak menjangkiti sinus.
Hal ini mengakibatkan keadaan yang dikenal sebagai sinusitis akut. Penimbunan
nanah dan mukus bercampur udara yangtersumbat di dalam rongga sinus menyebabkan tekanan pada dinding sius yang
mengakibatkan sakit. Sakit kepala akibat sinusitis boleh diiringi oleh gejala
lain seperti sakit gigi barisan atas, demam, bengkak muka, hidung tersumbat
atau lelehan hidung berwarna kuning atau hijau. Keamatan sakit kepala adalah
ringa hingga sederhana dan berterusan. Sakit menjadi lebih teruk jika pesakit
batuk atau membengkokkan badan ke hadapan dan tunduk. Sakit kepala akibat
sinusitus kronik mungkin mempunyai
gejala yang sama seperti jenis akut pada tahap keamatan yang lebih ringa.
Rawatan sakit kepala resdung
Jika resdung dapat dipulihkan, maka
sakit kepala resdung akan dapat dirawat. Rawatan resdung ditumpukan untuk
mengurangkan keradangan dan bengkak
sinus serta mengeluarkan nanah dan mucus dari sinus. Berikut diberikan beberapa
cara untuk melegakan sakit kepala resdung:-
a)
Sedut wap daripada air panas yang diisikan ke dalam
bekas bagi mendapat udara lembap.
b)
Panaskan tuala dengan mengunakan air panas dan
letakkannya pada bahagian sakit dan tekan selama tiga minit. Kemudian letakkan
tuala lain yang diisikan dengan air batu ke bahagian yang sama dan tekan selama
30 saat. Ulang proses ini sebanyak 3 kali dan lakukannya 3 hingga 3 kali
sehari.
c)
Pesakit boleh mencuba analgesik seperti Paracetamol,
Aspirin dan ubat lain kumpulan Aspirin untuk melegakan sakit.
Sinustis
kronik biasanya dirawat dengan ubat steroid dalam sediaan semburan
hidung. Tujuan
rawatan dengan steroid adalah untuk meredakan bengkak hidung dan keradangan
sinus. Pembedahan yang paling biasa ialah pembedahan endoskopik iaitu
pembedahan yang bertujuan untuk membesarkan pembukaan sinus supaya nanh dan
lendir dapat mengalir keluar secara berkesan. Pada amnya, untuk mengelakkan
keadaan pesakit resdung kronik supaya tidak mlebih teruk, pesakit harus
mengelakkan perkara atau aktiviti berikut:-
a)
Merokok
b)
Pendedahan kepada asap rokok perokok lain
c)
Berada di luar yang terdapat banyak benda alah di udara
d)
Membenamkan kepala semasa berenang di dalam kolam
renang berklorin serta selam skuba (scuba diving).
7.0
Jenis Sakit Kepala Yang Lain
Sakit kepala arteritis temporal
Arteritis temporal merupakan keadaan
keradangan atau inflamasi salur darah kepala, mata dan saraf optik. Pesakit
arteritis temporal biasanya mengalami gangguan penglihatan. Gangguan ini
melibatkan sebelah mata dahulu tatapi boleh melibatka ebelah mata lagi
sekiranya keadaan tersebut tidak dirawat. Selain gangguan penglihatan seperti
penglihatan berganda dan penglihatan kabur sementara, gejala lain yang dialami
ialah sakit kepala termasuk nyeri di kulit kepala, sakit di bahagian tepi dahi,
sakit tengkuk, sakit rahang teruatamanyaapabila mengunyah dan kelopak mata
menjadi layu. Pesakit juga boleh demam, hilang selera makan, mengalami
kemurungan dan kelesuan. Pesakit arteritis ini biasanya memerlukan rawatan
dengan steroid untuk mengurangkan atau meredakan keradangan atau inflamasi.
Sakit kepala akibat tekanan darah tingi
Biasanya tekanan darah tinggi atau
hipertensi tidak menyebabkan sakit kepala kecuali apabila tekanan darah sangat
tinggi, misalnya tekanan darah diastolik melebih 10 mm Hg. Sakit kepala yang
dirasai adalah berdenyut-denyut di bahagian kepala dan lebih sering berlaku
apabila bangun pagi dan menjadi lebih teruk apabila bersenam atau meneran
kerana aktiviti ini boleh meningkatkan tekanan darah.
Diagnosis
sakit kepala jenis ini dilakukan dengan memeriksa tekanan darah iaitu tekanan
sistolik dan tekanan diastolik. Tekanan darah normal ialah 120/80 mm Hg
(sistolik/diastolik). Tekanan sistolik boleh mempengaruhi oleh aktiviti
pergerakan atau keresahan. Darah tinggi biasanya lebih berdasarkan tekanan
diastolik.
Sakit kepala
akan pulih semula apabila tekanan darah dapat dikawal dengan memakan ubat darah
tinggi, mengurangkan garam dalam makanan dan mengurangkan berat badan.
Sakit kepala akibat kanser otak
Walaupun kanser otak boleh
menyebabkan sakit kepala tetapi ia jarang-jarang sekali menjadi penyebab sakit
kepala. Namun, pesakit biasanya bimbang
sama ada sakit kepala yang dihidapinya adalah akibat kanser otak atau
tidak. Sakit kepala yang berlaku secara tiba-tiba pada pesakit yang tidak
pernah mendapat sakit kepala atau terdapat perubahan pada ciri-ciri sakit
kepala yang biasa dialaminya, terutama pada pesakit yang berusia melebihi 40
tahun harus diselidiki. Sakit kepala yang berkaitan dengan kanser otak adalah
berterusan dan enjadi lebih teruk apabila pesakit batuk, bersin atau meneran
kerana semua aktiviti ini boleh meningkatkan lagi tekanan cecair di dalam otak.
Sakit kepala akibat kanser otak lebih disyaki sekiranya disertai dengan muntah,
penglihatan kabur, pengsan atau menyebabkan pertukaran dalam personality.
Keadaan sedemikian boleh disahkan dengan scan otak.
Sakit kepala akibat masalah mata
Masalah mata boleh juga menyebabkan
sakit kepala. Biasanya sakit yang dirasai adalah di bahagian atas mata dan
sering berlaku pada waktu tengah hari apabila mata letih. Contoh, pessakit yang
lebih berisiko mendapat sakit kepala akibat masalah mata ialah pelajar yang
suka membaca berterusan untuk masa yang lama teruatamanya jika lampu kurang
terang, individu yang terpaksa berhadapan dengan komputer sepanjang hari dan
individu yang memandu sepanjang hari. Kemungkinan penglihatan individu kurang
jelas dan memerlukan cermin mata atau perlu menukar cermin mata.
Sakit kepala akibat kecederaan kepala
Kecederaan kepala boleh terjadi
akibat kemalangan jalan raya, sukan atau jatuh (biasanya pada psakit yang
berusia tua). Kecederaan kepala, terutamanya yang disertai dengan hilang
kesedaran harus diperiksa oleh doctor. Kadangkala hilang kesedaran tidak
berlaku dengan serta-merta. Namun demikian adalah penting untuk anda memerhati
gejala yang timbul beberapa jam selepas kecederan berlaku. Gejala yang timbul
termasuklah sakit kepala, perturturan yang tidak jelas, keresahan, muntah,
bertambah mengantuk, gangguan ingatan dan hilang kesedaran. Sekiranya
gejala-gejala tersebut timbul, pesakit perlu berjumpa doctor kerana keadaan ini
mungkin disebabakan oleh pendarahan otak atau pembengkakan otak.
![]() |
Insyaallah,, |
#sekian dulu perkongsian kali ini..Tq
No comments:
Post a Comment